Skip to main content

Jalan Pulang

Al-Fatihah. Marilah kita sedekahkan surah Al-Fatihah buat arwah Mak Lang saya (Faridah Abd Manaff), Mak Ngah (Maznah Abd Manaff), nenek (Khadijah Abbas) dan buat seluruh muslimin muslimat yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita. Kita mendoakan agar ruh mereka semua dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh, insya-Allah.

Kronologi pemergian arwah Mak Lang yang dikasihi:

Aidilfiri 1430 H: Kami sekeluarga menerima khabar Mak Lang mendapat angin ahmar (stroke). Mak Lang tak boleh berjalan, beliau menerima rawatan fisioterapi secara intensif. Alhamdulillah kami sempat menziarahi beliau.

27 Nov 2010: Kami ke KL, menghantar To’ki ke Uniten dan Umar ke rumah Pak Usu. Terniat untuk menziarahi Mak Lang tetapi masa terbatas, kami bercadang untuk ziarah beliau pada bulan hadapan. Mak Usu yang baru menziarahi arwah minggu lalu menyatakan keadaan arwah yang amat kurus, beliau tak mahu makan, terbaring lesu sahaja.

3 Dec 2010: Pukul 2.30 pagi, Allah menjemput Mak Lang, innalillahi wainna ilaihi raaji’un. Alhamdulillah Pak Lang sempat mengajarkan syahadah sebagai kalimah akhir buat isteri beliau. Terharu sungguh mendengar kisah pengorbanan Pak Lang (contoh buat para suami di luar sana), sepanjang Mak Lang sakit, Pak Lang yang menjaga beliau termasuklah memandikan beliau dan memasak buat anak-anak. Masya-Allah, hebatnya pengorbanan Pak Lang! Menitis air mata apabila mengenangkannya.

Kami di Jitra, bergegas bertolak ke Puncak Alam. Agak lewat kami mengetahui berita pemergian Mak Lang disebabkan tak sedar deringan handphone yang berbunyi berkali-kali. Kami tiba di sana tidak beberapa lama sebelum jenazah dikebumikan. Alhamdulillah sempat menatap wajah terakhir Mak Lang sebelum beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Felda Bukit Cerakah.

Wajah Mak Lang bersih sekali. Alhamdulillah saya yakin, Mak Lang pergi dalam husnul khatimah, insya-Allah. Saya melihat wajah anak-anak Mak Lang, seorang demi seorang; Along, Angah, Khairul, Zulkhairi dan Izzah. Nampak mereka redha dan tenang dengan pemergian ibu tercinta. Saya tahu mereka juga merelakan pemergian ibunda yang telah sakit selama lebih setahun itu. Semoga Allah melimpahkan kesabaran yang tinggi buat Pak Lang dan anak-anak.

Mak Cik Dick (adik Abah) menyebut kepada saya, “Alhamdulillah Mak Lang ‘pergi’ dengan mudah. Kita ni tak tahu macam mana jalan pulang kita.” Terdiam saya. Menginsafi diri yang terlalu banyak dosa ini. Adakah seperti Mak Lang jalan pulang kita?


كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. [Ali-Imran: 185]

Teringat satu kata-kata dalam novel kesukaan saya, “Hijab Sang Pencinta”-RAM,

Mati itu pasti..hidup insya-Allah

Lalu, sudah siapkah kita untuk bertemu Tuhan, Rabb sekalian alam?

“Allahummaghfirlaha warhamha wa’afiha wa’fu ‘anha”

Semoga Mak Lang bersemadi dengan aman di alam barzakh sana. Kami juga akan menyusul Mak Lang, insya-Allah.

{entri ini khas buat adinda Bangah dan Nienah yang berada di perantauan}


Comments

Popular posts from this blog

Dunia Seorang Pensyarah; Selamat Tinggal & Semoga Kembali Lagi

Kata Hamka, “Mengakui kekurangan diri sendiri adalah tangga buat mencapai cita-cita. Berusaha terus bagi mengisi kekurangan adalah keberanian luar biasa.” Alhamdulillah secara rasminya aku sudah tidak bergelar seorang pensyarah bermula hari ini. Ada sedikit kelegaan, bukan tidak menyukai profesion ini, tetapi aku sedikit tenang kerana telah melepaskan amanah ini dengan sebaik dan seoptimum khidmat yang dapat aku berikan. Semoga ianya dikira sebagai amal ibadat walaupun tidak seberapa sumbangan yang dapat dicurahkan. Mengambil kesempatan di ruangan maya ini untuk aku merakamkan jazakumullahu khairan jaza’ buat: 1) Ayahanda; Hj Yaakob Abd Manaff (Prof Madya) 2) Pn Jasmani Bidin (Koordinator CS 228) 3) Pn Nooraini Ali (Pensyarah Statistik) 4) PM Raja Sulaiman Raja Lope Ahmad (Pensyarah Matematik) 5) En Mohd Najib (Penyelaras MAT 235) 6) En Khairu Azlan (Penyelaras MAT 285) 7) Pn Rohana Dollah & suami, En Azlan (Pensyara...

Detik Perkenalan ku dengan Shaklee

  Bismillahi walhamdulillah Entri terakhir ku dalam blog LTC ini ialah pada 2018 yang lalu. Allahu Akbar, lama sungguh tak menulis! Kali ini aku ingin berkongsi dengan kalian tentang detik perkenalan ku dengan makanan tambahan dan vitamin daripada Shaklee. Pertama kali aku melihat tong ESP Shaklee ialah di rumah datukku, jika tak salah sekitar tahun 1990-an. Aku masih kanak-kanak ketika itu dan hanya capture perkataan Shaklee dalam mindaku tanpa mengetahui apa itu Shaklee?  Masa berlalu, aku menginjak dewasa, sudah berkahwin dan punya cahaya mata. Alhamdulillah atas segala nikmat kurniaan Ilahi. Menginjak usia menghampiri 30-an, aku perasan badan aku dah kurang cergas, cepat letih dan BMI pun tak normal 😪 Satu hari, aku terbaca posting FB seniorku, Kak Ros yang kini merupakan upline ku mengenai vitamin Shaklee. Lalu aku terus menghubungi beliau dan menyatakan masalahku. Aku berhasrat hendak mencuba ESP kerana daripada pembacaan ku, ESP dapat membantu membekalkan tenaga dan me...

Ini Mozek BERSIH 2.0 Saya

Bismillahi walhamdulillah 9 Julai 2011 pasti akan terpahat kukuh dalam seluruh memori rakyat Malaysia. Sama seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Walaupun ianya telah 42 tahun berlalu, rakyat tidak pernah melupakannya. Impaknya amat besar terutamanya kepada kaum Melayu dan Cina pada ketika itu. Mozek BERSIH 2.0 Saya cuba mengenepikan segala emosi dan rasa marah saya ketika entri ini ditulis. Sungguhpun rasa marah ini tidak lagi padam, pesan naqibah saya, SABAR, SABAR dan berSABARlah! Sesungguhnya mengamalkan Islam pada akhir zaman ini ibarat menggenggam bara api! Maka, saya cuba bersabar, seperti sabarnya para pemimpin saya tika ini. Pagi 9 Julai 2011 tiba juga. Alhamdulillah, sehari telah berlalu pergi menjadikan umur saya 25 tahun 1 hari. Ulang tahun yang pasti diingati berikutan terpalitnya sejarah hitam dalam demonstrasi BERSIH 2.0! Palitan ini sebenarnya sudah pun terjadi kepada beberapa siri demonstrasi sebelum ini, tetapi saya kira palitan kali ini lebih dahsyat, lebih jijik d...