Langkah Da'ie

Bismillahi walhamdulillah




Maksudnya: "Sekiranya (yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, nescaya mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah, "Jikalau kami sanggup nescaya kami berangkat bersamamu." Mereka membinasakan diri sendiri dan Allah mengetahui bahawa mereka benar-benar orang-orang yang berdusta." [9:42]
Inilah ayat azimat yang sering diucapkan dan di'highlight'kan di dalam usrahku di UIA dahulu. Maha Benar firman Allah. Jika kita menelusuri ayat ini, akan kita temukan bahawasanya 'jalan ini' (baca: perjuangan dan dakwah menegakkan kalimatULLAH) adalah jalan yang sangat jauh, payah dan banyak sekali cabarannya. Period zaman Nabi-nabi kita telah merakamkan kebenaran ayat Allah ini.

Berapa ramai yang benar-benar berjuang, turun ke medan juang berbanding ramainya yang hanya tahu bercakap dan berazam sahaja? Masih ingatkah anda dengan kisah Perang Tabuk? Masya-Allah, anda pasti akan menangis jika anda menghayatinya. Siapakah 3 orang sahabat yang dipulaukan oleh Rasulullah dan semua umat Islam ketika itu? Dek alpa, mahu bersenang-senang sehingga melewat-lewatkan persiapan untuk berperang, maka mereka telah terlepas rombongan Rasulullah ke Tabuk.

Mereka adalah Kaab bin Malik, Murarah bin ar-Rabi' dan Hilal bin Umayyah. Mereka adalah sahabat-sahabat Nabi, bukanlah orang munafik. Bahkan Kaab bin Malik tidak pernah terlepas daripada mengikuti setiap peperangan dengan baginda Rasulullah s.a.w. Buku "Al-Mutasaqith fit Thariqil Da'wah" karangan Fathi Yakan mengkisahkan kembali keciciran Kaab bin Malik beserta 2 orang lagi sahabat daripada Perang Tabuk.

Saya tidak mahu melanjutkan kisah Perang Tabuk kerana banyak sekali buku dan blog yang anda boleh rujuk untuk mengetahui 'ibrah di sebalik peristiwa ini. Saya sebagai insan lemah, biasa-biasa ini mahu mengajak diri sendiri dan para pembaca budiman untuk bermuhasabah seketika. Biarlah masa bermuhasabah anda seketika cuma tetapi saatnya dinilai di sisi Allah sebagai usaha kecil kita memikirkan tentang perjuangan Islam dan ummah ini.

Dunia Akhir Zaman

Sedarkah kita bahawa dunia kita sudah tua? Sudah terlalu tua sahabat-sahabatku. Apabila Baginda Rasulullah ditanya oleh para sahabat, berapakah usia dunia ini? Baginda menunjukkan 2 jari baginda, iaitu jari telunjuk dan jari tengah. Usia dunia adalah di antara kedua-dua jari ini.

Masya-Allah! Apa yang tergambar dalam fikiran kita? Walhal kita sekarang sudah lebih 1430 tahun di belakang zaman Nabi! Sudah tentu dunia sekarang sudah sangat tidak berdaya, ibarat orang tua yang sangat bongkok, uzur dan sedang menunggu masa dijemput Tuhan. Masih tidak sedarkah kita?

Bukanlah saya bertujuan mahu menakut-nakutkan anda tetapi tidakkah kita tahu bahawa MATI itu sangat dekat dengan kita. Saya amat tertarik dengan perkongsian hikmah adinda saya, Aisyah, mengenai mati, silalah berkunjung. Tribute buat Aisyah, qurratu'aini saya =)

Kehidupan saya di ibu kota sekarang lebih 'membuka mata' saya akan gersangnya iman manusia di akhir zaman ini. Tidak kira di mana sahaja anda berada, anda pasti akan menemui golongan-golongan yang sudah tidak takut akan hukum Allah, walaupun orang itu adalah sanak saudara, rakan serumah mahupun rakan sekelas kita. Astaghfirullahal'azhim!

Lalu bagaimana tindakan anda? Setiap hari merasakan diri ini amat berdosa, tidak mampu mencegah dengan lisan apatah lagi dengan tangan! Berdoa terus-terusan semoga insan-insan ini diberikan hidayah oleh Allah, kembali ke jalan Allah.

Langkah Da'ie

Fathi Yakan di dalam bukunya "Konsep Penguasaan Dakwah" menyatakan bahawa seseorang da'ie itu perlu memiliki penguasaan External dan Internal Dakwah.

Penguasaan Ekstern Da'wah:
  1. Ketinggian ilmu dalam agama
  2. Teladan utama
  3. Sabar
  4. Penyantun dan lemah lembut
  5. Memberi kemudahan
  6. Tawadhu' dan rendah hati
  7. Ramah dan halus budi bahasa
  8. Dermawan dan suka berkorban
  9. Suka membantu orang lain
Penguasaan Intern Da'wah:
  1. Pembinaan 'aqidah
  2. Pembinaan pergerakan/organisasi/jamaah
Sahabat-sahabat yang dirahmati, qawa'id fiqhiah ada mengatakan "tidak sempurna sesuatu perkara itu melainkan dengan kita melaksanakan perkara yang menyebabkan kesempurnaan ke atas perkara yang terdahulu"

Sebagai contoh, tidak sah solat kita jika kita tidak berwudhu' bukan? Maka untuk menyempurnakan solat, kita wajib berwudhu'. Hukum wudhu' yang pada asalnya sunat menjadi wajib dengan sebab hendak mengerjakan solat.

Maka apakah hukum dakwah? Dakwah adalah fardhu 'ain ke atas setiap individu dan fardhu kifayah ke atas sesebuah organisasi/pergerakan yang mengusahakan dakwah dalam bentuk kolektif.

Saya mahu mengutarakan satu persoalan kepada sahabat-sahabat sekalian. Kalian lebih kuat berdakwah secara individu mahu pun kolektif (baca: berkumpulan/berjamaah)? Saya meninggalkan persoalan ini untuk difikir-fikirkan dan dimuhasabahkan oleh kita semua. Sahabat-sahabatku, ketahuilah bahawa jika kalian menggabungkan diri sebagai para pejuang agama Allah, tiada apa yang kalian sesalkan/rugikan. Walau jalan ini susah, payah, dibenci dan tidak ramai yang suka kepadanya, tetapi ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya mencintai orang-orang yang berada di atas jalan ini. Semoga Allah terus istiqomahkan saya dan kalian atas jalan yang tidak disukai oleh kebanyakan orang dan biarlah kita menjadi sang ghuraba' itu.

Siiru'ala barkatILLAH,
'Ish 'Azizan Aw Mut Syahidan~

Comments

Popular posts from this blog

Baitul Muslim Haraki

Perkongsian; Hala Tuju Selepas Graduasi