Jumm'ah dan Prof Muhaya



Bismillahi walhamdulillah

7 Ramadhan 1433H. Jumm’ah mubarakah! Jumaat pertama Ramadhan. Alhamdulillah Allah masih memberikanku kesempatan berada di dalam bulannya yang penuh mulia, bulan yang penuh dengan tawaran dan bonus seperti kata Al-Fadhil Ustaz Syed Kadir Al-Jofree di dalam “Nasi Lemak Kopi O” pagi tadi.

Hamdan Lillah hari ini berkesempatan ikut Zauji ke Masjid Al-Huda Kelang Lama, rumah Allah yang menjadi saksi sujudku sepanjang Ramadhan tahun ini. Hari ini rasa sangat syahdu dan tenang sekali dan rasanya inilah ketenangan yang selama ini aku dambakan. Alhamdulillah Ya Allah, Engkau campakkan jua sakinah yang saban waktu aku memintanya Ya Allah..Lantunan bacaan Surah As-Sajadah dan Surah Insan oleh imam semasa Solat Subuh pagi tadi amat menyentuh hatiku, serasa hati yang kotor ini baru merasai siraman cahaya Nur Kalamullah..Allahu Allah..

Sesungguhnya ketenangan ini, kedamaian ini dan kebahagiaan jiwa ini yang aku cari, yang aku dambakan. Sedangkan Ramadhan sudah hampir seminggu berlalu..Allahu Allah..benarlah hidayah itu milik Allah, dan Dia sahaja yang bisa mencampakkannya kepada sesiapa sahaja yang Dia sukai. Wahai Allah, kekalkanlah sakinah ini ke dalam hati hamba yang sangat rapuh dan lemah imannya..

Prof Muhaya

Sedang aku scroll status-status rakan FB, tiba-tiba terpandang satu video yang bertajuk “Sejernih Sinar Matamu” oleh Ahmad Fetry, selebriti TV3. Masya-Allah rupanya video ini menceritakan kisah insan hebat yang menjadi ikutan sebahagian besar rakyat Malaysia iaitu Prof Muhaya. Prof Muhaya memang sudah tidak asing lagi dengan kita, seorang pakar mata, pendakwah dan motivator hebat dengan kata-kata beliau yang begitu bermakna dan bermanfaat.

Aku jadi teringat kepada Zauji. Di usia perkahwinan kami yang masih muda lagi, kami sebenarnya masih dalam fatrah mengenali antara satu sama lain. Zauji selalu recommendkan aku untuk mendengar slot Prof Muhaya di IKIM.fm iaitu “Reset Minda Celik Hati”. Rupanya Prof Muhaya merupakan salah seorang ikon beliau. Pasti Zauji akan quote kata-kata Prof Muhaya dan kemudian sampaikan kepadaku. Dan aku akuinya bahawa Prof Muhaya adalah seorang insan yang kaya jiwa dan setiap pekerjaan yang beliau laksanakan adalah kerana Allah dan mahu memanfaatkan orang lain.

Tontonlah video ini..dedikasi Prof Muhaya untuk kita semua yang bergelar muslimah, isteri, ibu dan tidak kira apa jua pekerjaan kita. Setiap patah kata beliau sangat inspiratif dan banyak kali beliau mengulangi bahawa beliau mahu meninggalkan dunia fana ini pada hari Jumaat dan di dalam bulan Ramadhan yang penuh mulia..Allahu Allah..hebatnya beliau..semoga Allah memperkenankan niat suci beliau.

Prof Muhaya sudah memanfaatkan insan lain di dalam kepakaran beliau. Bagaimana dengan kita? Prof Muhaya berkata, “Jangan kejar cita-cita tetapi kejarlah MAKNA, kerana cita-cita adalah pandangan manusia sedangkan MAKNA adalah pandangan Allah".“Menjadi pendidik bukan untuk tunjukkan kita pandai, tetapi menjadi pendidik adalah untuk memanfaatkan pelajar kita”. Subhanallah! Tabarokallah! Banyak lagi mutiara-mutiara hikmah yang beliau sampaikan, tontonlah..

Formula Prof Muhaya sebenarnya mudah sahaja, "Dekat dengan Allah, Kejar Akhirat dan Manfaatkan Orang Lain". Aku sangat terkesan dengan kata-kata beliau "Saya meminta kepada Allah, jika saya sudah tidak memberi manfaat kepada orang lain, ambillah saya dari dunia ini..". Allahu Rabbi..Bertanya kepada diri, sudahkah kita memberi manfaat kepada orang lain? Nabi juga telah bersabda yang bermaksud "Sebaik-baik kamu adalah yang memberi manfaat kepada yang lain" dan Prof Muhaya benar-benar mengamalkan apa yang telah disabdakan oleh Baginda.

Aku malu sendiri. Menangis menonton video ini..Seorang insan hebat seperti Prof Muhaya tiada rasa megah dengan ilmunya, profesionnya, anak-anak yang bijak pandai dan harta yang dimilki. Tetapi Prof Muhaya yang umum kenali adalah seorang insan yang kaya jiwa, pemurah, memanfaatkan insan lain, rendah hati dan akrab hubungannya dengan Allah, insya-Allah..

Mari kita sama-sama tingkatkan potensi diri, reset kembali minda, lukiskan 'big picture' yang hendak dicapai dalam hidup dan bersangka baik dengan apa sahaja yang kita laksanakan kerana Allah sentiasa bersama prasangka hamba-Nya..

Allahu A'lam..


Comments

  1. Bicara Prof Muhaya senantiasa mempesona kan? Jom hidup bermanfaat =)

    ReplyDelete

Post a Comment