Skip to main content

Ayah Bonda; Maafkan Anakmu Ini

Bismillahi walhamdulillah

Puteri sulung Mak dan Abah ingin mencoret sesuatu di sini. Terlebih dahulu jutaan maaf dipinta untuk Mak dan Abah kerana diri ini jarang sekali menghadiahkan kebahagiaan kepada kalian berdua.

Sudah 25 tahun anak sulung Mak dan Abah sekarang, subhanallah cepatnya masa berlalu! Dalam usia satu dekad setengah ini aku cuba menghitung-hitung berapa banyak 'hadiah' kejayaan yang telah ku beri, walaupun aku tahu Mak dan Abah tidak memintanya tetapi sebagai seorang anak, wajib ke atasku untuk 'menghadiahkan' kejayaan terutamanya di dalam akademik kepada kedua orang tuaku.

Maafkan diri ini Mak dan Abah, rasanya tidak dapat dihitung dengan apa pun segala kesenangan, kemudahan dan segala-galanya yang telah kalian berdua berikan kepada kami, sembilan orang anakmu ini. Bermula dengan hari pertama aku menjenguk dunia sehingga ke saat ini, tidak tertahan rasanya menakung air mata yang pasti akan gugur jika mengingat akan pengorbanan kalian kepada kami. Maafkan segala kesalahan kami..

Mak dan Abah, diri ini selalu ingin melaksanakan yang terbaik dalam hidup terutama dalam dunia akademik. Tika ini, alhamdulillah dengan izin Allah jua, diri ini sedang melalui peringkat pengajian yang lebih tinggi iaitu Sarjana. Andai Mak dan Abah tahu, sesungguhnya aku telah berjanji dengan Allah, diriku dan dengan kalian juga bahawa aku akan mendapatkan Kelas Pertama untuk peringkat pengajian kali ini, insya-Allah. Dari itu, aku memohon dengan amat sangat kalian berdua dapat mendoakanku. Namun aku cukup mengerti bahawa kalian berdua sebenarnya senantiasa mendoakan kami anak-anakmu hatta kami tidak meminta pun, Allahu Allah..

Kita sentiasa merancang dan digalakkan untuk merancang hala tuju hidup kita. Begitu juga aku, Mak dan Abah, aku merasakan aku telah berusaha sedaya dan semampuku untuk cuba meraih yang terbaik pada semester lepas. Namun begitu aku diuji lagi, aku menerimanya dengan redha dan cuba memujuk diri, "mungkin usaha aku masih tidak cukup, strategi tidak mengena dan mungkin juga kurang menjaga amal ibadat" dan pelbagai asbab yang cuba dimuhasabahkan. Aku mohon maaf sekali lagi Mak dan Abah, anakmu ini masih tidak dapat membanggakanmu..

Setiap kali menerima panggilan telefon daripada kalian berdua, amat berat sekali untuk menuturkan bicara. Maafkan aku Mak dan Abah, bukan niatku untuk tidak mahu bicara, aku akan berusaha untuk menjadi anak yang solehah buat kalian kerana aku tahu inilah yang dimahukan Tuhanku. Aku benar-benar berdosa kepada kalian berdua, semoga kalian memaafkanku dan aku juga berdoa semoga Allah juga sudi mengampunkanku..

Terakhirnya, doakan anakmu ini menjadi hamba Allah, anak dan sahabat yang solehah, itqan dalam setiap gerak kerja dan tidak mengenal erti putus asa. Semoga Allah sentiasa memelihara dan menyayangi kalian selama-lamanya kerana hanya Dia sahaja yang dapat membalas segala kebaikan kalian kepada kami.

"Ya Allah, rahmatilah kedua ibu bapaku sebagaimana mereka mengasihiku ketika aku masih kecil".

-Anakmu-

Comments

Popular posts from this blog

Ini Mozek BERSIH 2.0 Saya

Bismillahi walhamdulillah 9 Julai 2011 pasti akan terpahat kukuh dalam seluruh memori rakyat Malaysia. Sama seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Walaupun ianya telah 42 tahun berlalu, rakyat tidak pernah melupakannya. Impaknya amat besar terutamanya kepada kaum Melayu dan Cina pada ketika itu. Mozek BERSIH 2.0 Saya cuba mengenepikan segala emosi dan rasa marah saya ketika entri ini ditulis. Sungguhpun rasa marah ini tidak lagi padam, pesan naqibah saya, SABAR, SABAR dan berSABARlah! Sesungguhnya mengamalkan Islam pada akhir zaman ini ibarat menggenggam bara api! Maka, saya cuba bersabar, seperti sabarnya para pemimpin saya tika ini. Pagi 9 Julai 2011 tiba juga. Alhamdulillah, sehari telah berlalu pergi menjadikan umur saya 25 tahun 1 hari. Ulang tahun yang pasti diingati berikutan terpalitnya sejarah hitam dalam demonstrasi BERSIH 2.0! Palitan ini sebenarnya sudah pun terjadi kepada beberapa siri demonstrasi sebelum ini, tetapi saya kira palitan kali ini lebih dahsyat, lebih jijik d...

Wanita Perlu Bijak Urus Emosi

 Bismillahirrahmanirrahim, 10 hari lagi kita nak bertemu dengan bulan yang dirindui, Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang penuh rahmat dan maghfirah daripada Allah, Rabb kita. Sebagai seorang wanita apatah lagi bergelar isteri dan ibu berkerjaya, pengurusan emosi sangat penting. Bukan mudah nak menukar 'topi' daripada seorang isteri dan ibu kepada seorang pekerja dan sebaliknya. Apabila seorang ibu penat di tempat kerja, ibu perlu berehat seketika agar emosinya stabil dan dapat berperanan dengan baik di rumah. Masha Allah Tabarokallah! Seorang ibu juga manusia biasa. Tidak terlepas dari rasa penat, marah dan sedih. Sifat negatif yang boleh menyebabkan sebuah keluarga tidak ceria dan harmoni. Ada satu kata-kata popular, "happy wife, happy family". Ada benarnya kata-kata ini. Ibu ialah madrasah dalam rumah tangga. Bahagia ibu, inshaa Allah bahagia rumah tangga. Sedih ibu, maka rumah tangga turut berasa muram. Kebanyakan sekolah sibuk dengan acara sukan minggu ini. Lantaran i...

Keluarga Juliana Berkembang ^^,

Bismillahi walhamdulillah "Isteri dan anak-anak adalah perhiasan dunia" Alhamdulillah, segala puji hanya untuk Allah, Tuhan Maha Pencipta, yang menciptakan manusia dari setitis air mani yang hina. Lalu menjadi segumpal darah, menjadi tulang, tulang kemudiannya dibalut dengan daging, dirupakan dengan sebaik-baik rupa dan bentuk lalu ditiupkan roh oleh Allah. Subhanallah! Tabarokallah! Alhamdulillah, adinda dikasihi Sakinah telah selamat melahirkan putera keduanya pada tanggal 8 September 2013 pada jam 5.01 petang di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. Putera kedua yang diberi nama Muhammad 'Imad Aqil menambahkan lagi seri kepada keluarga besar Juliana kami, Alhamdulillah.  Inilah Abang Long Fathi ^^, Ini adik Fathi, 'Imad Terimbau kenangan kami 9 beradik yang jarak kelahiran agak dekat, ada yang setahun, 2 tahun dan paling lama adalah 4 tahun. Seperti juga Sakinah, jarak kelahiran anaknya yang pertama dan kedua hanyalah setahun 1 bulan...